Saturday 31 March 2012

Kahwin Bukan Pil Ajaib

usaha untuk berubah sebelum kahwin, jangan berharap kahwin itu seolah pil ajaib. bila telan, terus jadi baik - gambar google -

Seorang sahabat lama bertanya pendapat saya tentang fenomena kegagalan pasangan suami isteri dalam mengerjakan rukun Islam. Komen beliau boleh baca di sini. Terlebih dahulu mohon kemaafan kerana agak lambat memberikan pendapat. Saya perlu akur pada keterbatasan waktu yang saya ada.
Sebelum saya menjawab terus kepada soalan, suka untuk saya sebutkan beberapa perkara penting sebagai mukaddimah. Perkara-perkara penting ini harus kita fahami dan semat dalam pemikiran kita sebaik mungkin, sebelum kita mahu berkahwin ataupun mahu berbincang tentang perkahwinan.
Apa perkara penting tersebut?
Pertama : Kahwin adalah suatu proses yang sepatutnya didahului oleh beberapa proses yang lain. Antara proses yang perlu dilengkapi sebelum sampai kepada proses perkahwinan adalah pembentukan diri, atau dengan lebih tepat, pengukuhan nilai-nilai muslim dari segi akidah dan ibadah di dalam diri sendiri. Proses ini adalah faktor pendokong yang utama kepada proses perkahwinan.
Kedua : Kahwin bukan penyelesaian kepada masalah taqwa atau kelesuan dalam beragama. Perkahwinan jangan dilihat sebagai ‘pil ajaib’ yang apabila ditelan, terus menjadi muslim cemerlang.
Ketiga : Proses pembentukan fardul muslim ( individu muslim ) yang diusahakan sebelum berkahwin, harus berterusan dan semakin diperhebatkan selepas berkahwin. Ini kerana ada yang merasakan proses tarbiyah diri mereka adalah untuk mencapai proses baitul muslim ( perkahwinan ) sedangkan proses tarbiyah diri adalah untuk mencapai keredhaan Allah secara berterusan.

SOLAT
Ada yang mengatakan dengan berkobar-kobar, bahawa perkahwinan itu boleh menjadikan mereka lebih bertqwa, lebih ‘lengkap’ agama, lebih baik dan sebagainya. Itu tidak saya nafikan. Di dalam hadith Nabi s.a.w dianjurkan supaya para pemuda berkahwin kerana padanya banyak kebaikan, juga padanya dapat melengkapkan nilai beragama.
Tetapi perlu diingat. Ia bukan suatu jaminan atau jalan penyelesaian kepada kelesuan seseorang dalam beragama. Kalau tidak, maka solat lah lebih utama untuk dilihat sebagai jaminan atau jalan penyelesaian.
Di dalam Al-Quran dinyatakan, bahawa sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Semua orang sedar akan kenyataan tersebut yang termaktub di dalam Al-Quran. Tetapi cuba lihat, adakah seseorang yang bersolat itu benar-benar selamat dan bebas dari perbuatan keji, mungkar dan maksiat?
Tentunya tidak.
Ramai yang solat, tetapi masih berzina. Ramai yang solat, tetapi masih berseluar pendek, tidak bertudung kepala. Mereka solat, tetapi masih suka mengumpat, mengeji, mengadu domba, memfitnah dan sebagainya. Maka demikian juga dengan nikah. Disebut banyak tentang kebaikan bernikah, tetapi adakah benar mereka yang bernikah itu beroleh sedemikan?
Maka apa yang diutarakan dalam soalan tersebut adalah suatu realiti yang harus diakui.
Apakah kenyataan Al-Quran itu yang salah, atau adakah hadith Nabi s.a.w itu yang tidak tepat?
Tidak. Tidak dan tidak.
Hakikatnya, solat yang dikehendaki dalam kenyataan Allah tersebut adalah solat yang berkualiti. Solat yang dikerjakan dengan penuh keikhlasan, rasa bertanggungjawab dan khusyuk. Ini kerana memang ramai orang yang solat, tetapi langsung tidak khusyuk. Dalam solat berfikir tentang kerja, tentang assignment, tentang bisnes bahkan ramai juga yang berfikir tentang barang mereka yang hilang.
Maka sudah tentu bukan solat jenis ini yang dimaksudkan sebagai boleh menjauhkan pelakunya dari perbuatan keji dan mungkar.

KAHWIN
Demikian jugalah dengan kahwin.
Dianjurkan berkahwin  supaya manusia dapat menyambung zuriat keturunan, dapat memelihara syahwat mereka dan daripada situ, dapat memfokuskan diri untuk beribadah kepada Allah. Namun anjuran ini bersyarat.
Syaratnya banyak. Antaranya kahwin itu perlu di atas asas-asas ketaqwaan, bukan seronok-seronok. Kahwin itu atas dasar mahu mencari redha Allah, bukan kerana ikut-ikutan. Kahwin atas dasar mahu lebih tegas menjauhi maksiat, bukan atas dasar mahu melunaskan nafsu syahwat.
Maka sekiranya syarat-syarat ini dipenuhi sebaiknya, tidak akan timbul soal suami yang tidak solat, tidak puasa, tidak berzakat dan sebagainya. Begitu juga dengan isteri, di mana isteri mendapat bimbingan dan dorongan dari suami, bertitik tolak dari keikhlasan mereka dalam menyempurnakan proses bait muslim.
Tetapi suami yang tidak solat, tidak puasa, isteri yang perangainya dua kali lima dengan suami, ini antara natijah yang timbul hasil daripada kegagalan mereka menyempurnakan proses tabiyah bermula dari proses pembinaan fardul muslim lagi. Ia bukan masalah berkahwin atau tidak.
Sepertimana seorang yang masih gemar bercouple tetapi selalu solat di masjid. Ia bukan masalah solat, tetapi masalah orang yang mengerjakan solat tersebut.

BAHAGIA
Sebagai muslim, sudah tentu kita wajib yakin bahawa kebahagiaan itu datangnya dari Allah. Allah beri kebahagiaan, berasbab dari kelunakan kita dalam beribadah kepadanya.  Itulah sifat Rahman dan Rahim yang ada pada Allah. Lebih daripada itu, sebagai muslim kita juga percaya dan yakin, bahawa walaupun kita diuji dengan kesusahan, tidak bertemu bahagian, ia juga datangnya dari kasih sayang Allah kepada kita.
Apa yang lebih penting adalah konsisten dan komitmen kita dalam beribadah dan membentuk diri untuk terus menjadi hamba.
Komen beliau :
Suami seorang yang cukup penyabar dan cool, sabar dengan karenah anak dan isteri, seorang yang bertanggungjawab, berusaha keras mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak,dan lain-lain yang baik-baik belaka iAllah. Cuma kekurangannya ialah GAGAL dalam solat, iaitu tidak menjaga kewajiban solat. Begitu juga puasa dan zakat.

Kalau keadaan di atas mahu digambarkan sebagai kebahagiaan dalam ertikata sebenar, sudah tentu tidak. Rumahtangga yang diberi Allah akan kebahagiaan, belum tentu kerana kasih sayang Allah pada mereka. Rumahtangga yang diuji Allah dengan kesusahan, belum tentu kerana kebencian Allah pada mereka.
Seorang muslim yang lalai dan tenggelam dalam maksiat, adakala hidupnya begitu mewah dan cukup segala benda. Tetapi seorang muslim yang begitu konsisten dengan amal ibadah, adakala hidupnya serba serbi tidak mencukupi.
Sesungguhnya rahmat Allah itu adalah pada bahagia dan tenangnya hati seorang hamba secara hakiki, bukan pada gelak ketawa dan kebahagiaan yang tampak secara zahiri.
Semoga kita tergolong dalam golongan hamba yang sedar akan hakikat kehambaan ini, biarpun kita seorang bujang ataupun sudah berkahwin.
 Sekian.
p/s: Entri ini diambil daripada blog myilham.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...