Saturday 31 March 2012

Kahwin Bukan Pil Ajaib

usaha untuk berubah sebelum kahwin, jangan berharap kahwin itu seolah pil ajaib. bila telan, terus jadi baik - gambar google -

Seorang sahabat lama bertanya pendapat saya tentang fenomena kegagalan pasangan suami isteri dalam mengerjakan rukun Islam. Komen beliau boleh baca di sini. Terlebih dahulu mohon kemaafan kerana agak lambat memberikan pendapat. Saya perlu akur pada keterbatasan waktu yang saya ada.
Sebelum saya menjawab terus kepada soalan, suka untuk saya sebutkan beberapa perkara penting sebagai mukaddimah. Perkara-perkara penting ini harus kita fahami dan semat dalam pemikiran kita sebaik mungkin, sebelum kita mahu berkahwin ataupun mahu berbincang tentang perkahwinan.
Apa perkara penting tersebut?
Pertama : Kahwin adalah suatu proses yang sepatutnya didahului oleh beberapa proses yang lain. Antara proses yang perlu dilengkapi sebelum sampai kepada proses perkahwinan adalah pembentukan diri, atau dengan lebih tepat, pengukuhan nilai-nilai muslim dari segi akidah dan ibadah di dalam diri sendiri. Proses ini adalah faktor pendokong yang utama kepada proses perkahwinan.
Kedua : Kahwin bukan penyelesaian kepada masalah taqwa atau kelesuan dalam beragama. Perkahwinan jangan dilihat sebagai ‘pil ajaib’ yang apabila ditelan, terus menjadi muslim cemerlang.
Ketiga : Proses pembentukan fardul muslim ( individu muslim ) yang diusahakan sebelum berkahwin, harus berterusan dan semakin diperhebatkan selepas berkahwin. Ini kerana ada yang merasakan proses tarbiyah diri mereka adalah untuk mencapai proses baitul muslim ( perkahwinan ) sedangkan proses tarbiyah diri adalah untuk mencapai keredhaan Allah secara berterusan.

SOLAT
Ada yang mengatakan dengan berkobar-kobar, bahawa perkahwinan itu boleh menjadikan mereka lebih bertqwa, lebih ‘lengkap’ agama, lebih baik dan sebagainya. Itu tidak saya nafikan. Di dalam hadith Nabi s.a.w dianjurkan supaya para pemuda berkahwin kerana padanya banyak kebaikan, juga padanya dapat melengkapkan nilai beragama.
Tetapi perlu diingat. Ia bukan suatu jaminan atau jalan penyelesaian kepada kelesuan seseorang dalam beragama. Kalau tidak, maka solat lah lebih utama untuk dilihat sebagai jaminan atau jalan penyelesaian.
Di dalam Al-Quran dinyatakan, bahawa sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Semua orang sedar akan kenyataan tersebut yang termaktub di dalam Al-Quran. Tetapi cuba lihat, adakah seseorang yang bersolat itu benar-benar selamat dan bebas dari perbuatan keji, mungkar dan maksiat?
Tentunya tidak.
Ramai yang solat, tetapi masih berzina. Ramai yang solat, tetapi masih berseluar pendek, tidak bertudung kepala. Mereka solat, tetapi masih suka mengumpat, mengeji, mengadu domba, memfitnah dan sebagainya. Maka demikian juga dengan nikah. Disebut banyak tentang kebaikan bernikah, tetapi adakah benar mereka yang bernikah itu beroleh sedemikan?
Maka apa yang diutarakan dalam soalan tersebut adalah suatu realiti yang harus diakui.
Apakah kenyataan Al-Quran itu yang salah, atau adakah hadith Nabi s.a.w itu yang tidak tepat?
Tidak. Tidak dan tidak.
Hakikatnya, solat yang dikehendaki dalam kenyataan Allah tersebut adalah solat yang berkualiti. Solat yang dikerjakan dengan penuh keikhlasan, rasa bertanggungjawab dan khusyuk. Ini kerana memang ramai orang yang solat, tetapi langsung tidak khusyuk. Dalam solat berfikir tentang kerja, tentang assignment, tentang bisnes bahkan ramai juga yang berfikir tentang barang mereka yang hilang.
Maka sudah tentu bukan solat jenis ini yang dimaksudkan sebagai boleh menjauhkan pelakunya dari perbuatan keji dan mungkar.

KAHWIN
Demikian jugalah dengan kahwin.
Dianjurkan berkahwin  supaya manusia dapat menyambung zuriat keturunan, dapat memelihara syahwat mereka dan daripada situ, dapat memfokuskan diri untuk beribadah kepada Allah. Namun anjuran ini bersyarat.
Syaratnya banyak. Antaranya kahwin itu perlu di atas asas-asas ketaqwaan, bukan seronok-seronok. Kahwin itu atas dasar mahu mencari redha Allah, bukan kerana ikut-ikutan. Kahwin atas dasar mahu lebih tegas menjauhi maksiat, bukan atas dasar mahu melunaskan nafsu syahwat.
Maka sekiranya syarat-syarat ini dipenuhi sebaiknya, tidak akan timbul soal suami yang tidak solat, tidak puasa, tidak berzakat dan sebagainya. Begitu juga dengan isteri, di mana isteri mendapat bimbingan dan dorongan dari suami, bertitik tolak dari keikhlasan mereka dalam menyempurnakan proses bait muslim.
Tetapi suami yang tidak solat, tidak puasa, isteri yang perangainya dua kali lima dengan suami, ini antara natijah yang timbul hasil daripada kegagalan mereka menyempurnakan proses tabiyah bermula dari proses pembinaan fardul muslim lagi. Ia bukan masalah berkahwin atau tidak.
Sepertimana seorang yang masih gemar bercouple tetapi selalu solat di masjid. Ia bukan masalah solat, tetapi masalah orang yang mengerjakan solat tersebut.

BAHAGIA
Sebagai muslim, sudah tentu kita wajib yakin bahawa kebahagiaan itu datangnya dari Allah. Allah beri kebahagiaan, berasbab dari kelunakan kita dalam beribadah kepadanya.  Itulah sifat Rahman dan Rahim yang ada pada Allah. Lebih daripada itu, sebagai muslim kita juga percaya dan yakin, bahawa walaupun kita diuji dengan kesusahan, tidak bertemu bahagian, ia juga datangnya dari kasih sayang Allah kepada kita.
Apa yang lebih penting adalah konsisten dan komitmen kita dalam beribadah dan membentuk diri untuk terus menjadi hamba.
Komen beliau :
Suami seorang yang cukup penyabar dan cool, sabar dengan karenah anak dan isteri, seorang yang bertanggungjawab, berusaha keras mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak,dan lain-lain yang baik-baik belaka iAllah. Cuma kekurangannya ialah GAGAL dalam solat, iaitu tidak menjaga kewajiban solat. Begitu juga puasa dan zakat.

Kalau keadaan di atas mahu digambarkan sebagai kebahagiaan dalam ertikata sebenar, sudah tentu tidak. Rumahtangga yang diberi Allah akan kebahagiaan, belum tentu kerana kasih sayang Allah pada mereka. Rumahtangga yang diuji Allah dengan kesusahan, belum tentu kerana kebencian Allah pada mereka.
Seorang muslim yang lalai dan tenggelam dalam maksiat, adakala hidupnya begitu mewah dan cukup segala benda. Tetapi seorang muslim yang begitu konsisten dengan amal ibadah, adakala hidupnya serba serbi tidak mencukupi.
Sesungguhnya rahmat Allah itu adalah pada bahagia dan tenangnya hati seorang hamba secara hakiki, bukan pada gelak ketawa dan kebahagiaan yang tampak secara zahiri.
Semoga kita tergolong dalam golongan hamba yang sedar akan hakikat kehambaan ini, biarpun kita seorang bujang ataupun sudah berkahwin.
 Sekian.
p/s: Entri ini diambil daripada blog myilham.com

Intipati Konvensyen Bidadari Dunia...

Assalammualaikum semua...

Alhamdulillah.. Ramai kawan-kawan yang bakal mendirikan rumah tangga.. Saya doakan supaya mereka semua bahagia hingga ke SYURGA... Aminn... 

Bila bercakap soal jodoh, pasti ada yang berbunga-bunga hatinya.. Sekarang persepsi saya mengenai jodoh tidak seperti dahulu... Ajal, maut, jodoh pertemuan Allah tentukan.. Sekiranya ajal yang datang dahulu daripada jodoh, apa yang patut dilakukan sekiranya itu yang tertulis... Berdoa dan berusaha.. Yakin dengan ketentuan Allah, itu yang sepatutnya kita semat dalam hati... Semoga hati dan iman ini kuat walau apapun yang terjadi.. Amin... Sekarang kawan-kawan, mari kita berusaha menjadi yang terbaik.. 

Konvensyen Bidadari Dunia banyak menyedarkan saya tentang peranan seorang wanita dalam institusi keluarga, masyarakat, negara dan paling utama peranan seorang wanita dalam menegakkan agama ISLAM...

Seperti yang dikatakan oeh Dr Muhaya Mohamad, "DIDIK WANITA, NEGARA TERPELIHARA"... Apabila wanita menjaga dirinya seiring dengan tuntutan syariat Islam, insyaAllah perkara negatif dapat dielakkan...

Dalam slot Ustazah Siti Norbahiyah, ada 15 tips menjadi WANITA PENYEJUK JIWA yang ingin saya kongsikan bersama dengan pembaca...

      1) Nur keimanan yang memancar di wajah
  • Sentiasa taat kepada Allah dan Rasul (taat perintah Allah, dan jauhi laranganNYA)
  • Sentiasa berwuduk, berzikir, berselawat, membaca al-Quran, solat Tahajjud, dan berdoa
       2) Akhlak yang terpuji
  • Elakkan berdua duaan dengan lelaki bukan mahram
  • Tingkah laku yang sopan dan tutur kata yang baik
  • Pelihara status sebagai anak gadis, isteri, ibu, kawan, dan jiran
  • Tidak melembutkan/melunakkan suara pada yang bukan mahram
  • Jangan buat 4P dengan lelaki bukan mahram iaitu pandang lebih-lebih, pegang-pegang, peluk-peluk, dan akhir sekali membawa perzinaan.. Nauzubillah
     3) Ilmu pengetahuan untuk menjadi wanita yang bijaksana
  • Isteri hebat, suami terpikat
  • Mendidik anak-anak
  • Belaian dan urutan sayang
  • Cantik luaran dan dalaman
     4) Isteri idaman suami
  • Taat dan hormat suami
  • Banyak melakukan amal soleh
     5) Senyuman manis buat suami tercinta

     6) Berhias dan berdandan untuk suami tersayang
  • Gincu yang paling indah bagi seorang isteri adalah senyumannya yang manis menghiasi bibir
  • Celak yang paling cantik menghiasi sepasang matanya adalah pandangan mata yang lembut
      7) Meluangkan masa untuk merawat diri

      8) Hati yang dipenuhi dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji)
  • Buang sifat-sifat mazmumah (keji) seperti bersangka buruk, sombong
  • Empat racun hati yang perlu dihindari ialah berlebihan dalam berbicara, berlebihan dalam melihat sesuatu, berlebihan ketika makan, berlebihan dalam pergaulan
      9) Penampilan mengikut syariat (alQuran)

   10) Segera meminta maaf sekiranya bersalah dan bersedia untuk memaafkan

    11) Bersabar dalam menempuh dugaan hidup
          " Sifat sabar adalah khazanah SYURGA"

    12) Sentiasa menderma dan berinfaq ke jalan kebajikan
  • Orang yang pemurah dikasihi Allah
  • Orang yang pemurah dekat dengan syurga
  • Orang yang pemurah jauh dari api neraka
  • Orang yang bakhil jauh daripada Allah
  • Jangan lupa berzakat
    13) Bersifat penyayang kepada anak-anak dan mendidik mereka menjadi anak yang soleh dan solehah
    14) Mempunyai perasaan takut kepada Allah

    15) Mendapat keredhaan ibu bapa
  •  Berbaktilah kepada ibu bapa sebelum terlambat

Sekarang ni saya akan berkongsi sedikit cerita yang disampaikan oleh Ustazah Zawiyah Hassan, kaunselor daripada Jakim... Ustazah mengatakan lewat ini, banyak pasangan yang bercerai... Kemudian cerita isteri didera suami.. Bayangkan isteri mengandung 5 bulan, dan perutnya dipijak oleh suami... Astaghfirullah... Dan macam-macam lagi... Ustazah pesan, daripada sekarang kena patuh ajaran Islam.. Solat lima waktu jangan tinggal... Kepada bakal suami, jangan sebelum kahwin sahaja tunjuk rajin solat, selepas kahwin, terus tinggal.. Kemudian berlakunya pelbagai masalah rumahtangga... Ini yang terjadi sekiranya kita melakukan sesuatu pekerjaan tidak ikhlas.. Kan berdosa menipu, dan juga berdosa kepada Allah Taala kerana lalai menjalankan tanggungjawab...

Pesan ustazah, apa pun yang berlaku... Kita hendaklah sabar dalam menempuh dugaan hidup.. Kita pun tak tahu sampai bila kita akan hidup... Adakah esok masih ada untuk kita?? Walllahualam...

Yang penting, jalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah... Walaupun hati disakiti, maafkanlah... Bukankah semua yang berlaku atas izin Allah jua... Maafkan, dan lupakanlah... Universiti kehidupan ini tidak akan pernah sunyi daripada dugaan dan cabaran kecuali pada saat nyawa dicabut.. Dan sehingga tiba saat itu, berusahalah menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah... InsyaAllah...

Salam hormat daripada saya tuan punya blog...  (^_^)

Friday 30 March 2012

BIDADARI


Bidadari bidadari,
Temanilah resahku,
Bidadari bidadari,
Tenangkanlah jiwaku.

Sumpah setia, hidup mati,
Selamanya,
Kerna kau isteriku,
Isteriku tercinta,
Pelengkap rusuk kiriku.

Bidadari bidadari,
Jadilah pendampingku,
Bidadari Bidadari,
Jadilah sang setia.

Kerna cinta,
Cinta suci,
Ertinya tidak pernah sepi,
Sepi daripada,
Cubaan yang tak terduga.

Kau umpama bintang utara,
Penunjuk jalan yang terang,
Kau beri harapan,
Saat ku jatuh bangun semula.

Kau berikan sakti cintamu,
Penawar racun berbisa,
Dan ikatan kita,
Cinta abadi hanya di Syurga.




Pada Situasi Malam Yang Dingin Itu...




Pada situasi malam yang dingin itu...
Di suatu tempat yang luas..
Kulihat ramai manusia berkumpul dengan riuh rendahnya...
Yang berkeluarga bersama anak-anak...
Yang dara bersama rakan-rakan seperjuangan...
Yang teruna bersama rakan-rakannya ...


Mataku bukan sahaja tertumpu di situ...
Tetapi juga tertumpu di satu sudut..
Di sana ada pasangan yang sedang galak berbicara...
Jarak mereka tidak jauh, tidak pula dekat...
Si jejaka menatap terus ke mata dara...
Dan si dara tersenyum simpul sambil berkata-kata...
Menyulam kasih di antara mereka...
Jarak yang tadi kelihatan jauh sedikit menjadi sangat dekat tanpa mereka sedari...
Si teruna mula terpegang tangan si gadis sunti...
Oh, apakah ini yang dinamakan 'chemistry'?


Lantas dengan mata berkaca, aku mencipta soalan buat diriku...
Adakah aku akan menjadi seperti mereka..
Jauh daripada pandangan orang tua dan keluarga...
Walaupun masih berada di dalam kawasan pandangan manusia...
Kononnya bukan hanya berdua...
Bercinta dan berkasih mesra tanpa ikatan yang sewajarnya...
Lantas melakukan apa yang dilarangNya...


Wahai empunya diri...
Adakah dengan status yang masih sendiri..
Atas nama cinta dan kononnya jodoh Ilahi...
Membolehkan dirimu ditakluki...


Pada saat ini...
Semoga hatiku kuat dan mindaku hebat...
Dalam menangkis getaran jiwa yang sentiasa menyengat...


Jika dulu aku boleh mengharapkan mahramku untuk bersamaku dan mengekoriku...
Mengharapkan rakan-rakan sejantinaku mengawasiku..
Tetapi kini aku tidak bisa melainkan dengan pertolongan Allah jua...


Aku pernah bermusafir seorang diri...
Mencari ilmu dan juga pengalaman hidup...
Setiap langkahku walaupun cuba dikawal, pernah tersalah juga..
Namun sempatku perbetulkannya..


Cuma aku takut kalau-kalau langkahku ini terlari dari tujuan yang sepatutnya...
Tatkala hati, fikiran tak lagi sebulu..
Kuharap iman menjadi pendinding diriku...


Ya Allah, awasilah diri ini dan tuntuni langkah ini ke arahMU...
Jangan pernah membiarkan diriku jauh daripada rahmatMU...
Amin Ya Rabbalalamain....


p/s: Bermujahadah dalam menjadi bidadari walaupun aku tahu aku tidak layak dengan gelaran itu... +_+

CiNta KeRaNa ALLAH

Assalammualaikum semua...

Sana sini tak habis-habis orang bercerita pasal cinta... Daripada yang belum kahwin, yang bakal berkahwin, dan yang sudah berkahwin.... Cinta itu memang indah...Dan selalunya wanitalah yang galak bercerita mengenai kisah cinta mereka dengan mata yang bercahaya, hati yang berbunga-bunga.... Hati wanita akan menjadi sangat lembut tatkala berbicara tentang cinta... Mana mungkin seorang wanita lain akan menghancurkan hati wanita yang lain apabila dia juga mengetahui betapa besarnya pengaruh cinta dalam diri makhluk yang bergelar wanita... 

Buku hasil tulisan Ustaz Pahrol ini akan merungkai cinta yang sepatutnya ada dalam diri setiap manusia... Bila kita mengetahui  mana arah cinta kita, pasti kita tahu batas-batasnya dalam mencari cinta manusia.... Kita semua manusia biasa, tapi Allah menciptakan kita makhluk yang paling istimewa.... Jangan kerana cinta kepada manusia, kita menjadi lemah... Hukum alam, cinta akan pudar jika tidak dibajai dengan cara yang sepatutnya... Dan kerana itu, cintailah seseorang dengan seadanya tanpa melebihi cinta kepada Allah dan Rasulullah... Supaya hati senang terpujuk tatkala cinta tidak lagi di sisi... 

"Cinta bukan hanya kata-kata bermadah, tetapi cinta adalah amanah daripada Allah.. Sesungguhnya cinta itu indah kerana ia adalah kurnia daripada Allah Yang Maha Indah... Justeru, jagalah kesucian dan keindahan cinta itu dengan berkata kepada kekasih hatimu AKU CINTA KEPADAMU KERANA ALLAH!"


p/s: Untuk makluman, buku ini akan berada di pasaran pada 27 April 2012, dan berharga RM30.00.... Semoga mendapat manfaat.. (^_^)



Thursday 29 March 2012

Sabar Kerana ALLAH

Bismillahirrahmanirrahim....
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Sabar... Perkataan yang amat mudah untuk diungkapkan tetapi mengamalkannya dalam kehidupan memerlukan satu kekuatan yang amat luar biasa... Sungguh.. Kekuatan yang bukan calang-calang...

Sekiranya seseorang itu mampu mengangkat beban 100 kg, itupun masih tidak memberi apa-apa jaminan yang dia akan berjaya menghadapi satu situasi itu dengan penuh kesabaran... Dan berkemungkinan dia akan jatuh tersungkur dengan ketidaksabarannya...

Bukankah dalam al-Quran terdapat banyak perkataan sabar... Antaranya ialah yang bermaksud

"Orang yang bersabar dan suka memaafkan, sesungguhnya hal yang demikian itu adalah termasuk pekerjaan yang dilakukan dengan hati yang teguh.." 
(Surah as-Syura: ayat 43)

Dan Kerana ALLAH, Bersabarlah

Walaupun itu sangat melukai hatimu
Walaupun itu membuat hatimu luluh dan lelah

Bila ada hal membuat kamu ragu-ragu dan keliru
Dan kerana yakin pada Allah, maka bersabarlah

Tiada ketentuan yang sia-sia
Tiada ujian yang melebihi kemampuan
Tiada duka yang tersembunyi dari pengetahuanNYA
Tiada air mata yang kering tanpa diketahuiNYA

Dan bila kamu sudah hilang sebab untuk bersabar
Maka pujuklah hatimu

Dan kerana ALLAH, maka bersabarlah...

DAN KERANA TUHANMU, BERSABARLAH
(Surah al-Muddaththir: ayat 7)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...